Bagi peminat fotografi baru (beginners), salah satu cara yang paling mudah untuk menjana pendapatan adalah melalui fotografi perkahwinan. Bagi golongan yang mempunyai pendapatan tetap, bisnes fotografi perkahwinan dilakukan secara sambilan. Apabila dilakukan secara sambilan, ada segelintir jurufoto sambilan yang kurang bersungguh-sungguh dalam kerja fotografi perkahwinan. Tanpa minat dan kesungguhan, seseorang itu tidak boleh maju dalam bidang ini.
Tanpa ilmu dan bimbingan yang betul, ada masanya seseorang itu akan terperangkap dalam beberapa masalah. Adakalanya ini akan membuatkan seseorang itu berputus asa lalu meninggalkan terus bidang ini. Selain dari itu, ada juga golongan yang terlibat dalam fotografi perkahwinan dalam satu tempoh masa yang lama, tetapi malangnya mereka tidak memperolehi hasil yang setimpal walaupun telah mengorbankan banyak wang dan masa mereka.
Sebenarnya, jika pekerjaan ini dilakukan dengan cara yang betul, ianya boleh memberikan pendapatan yang lumayan. Sudah terbukti, ramai jurufoto perkahwinan di luar sana yang telah berjaya.
Bidang fotografi perkahwinan nampak mudah pada awalnya. Tetapi, sebenarnya, ia tidak semudah yang disangka. Memang betul, sesiapa sahaja boleh merakam foto perkahwinan, tetapi untuk merakam foto perkahwinan yang berkualiti tinggi, memerlukan ilmu, kemahiran, pengalaman dan usaha yang bersungguh-sungguh. Adalah lebih sukar lagi untuk menjana keuntungan dari fotografi perkahwinan. Seseorang itu perlu ada ilmu perniagaan selain dari ilmu fotografi. Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan, ilmu perniagaan adalah lebih penting dari ilmu fotografi sekiranya seseorang itu ingin berjaya dalam fotografi perkahwinan.
Ramai jurufoto sambilan menyangka mereka mendapat untung setiap kali mendapat pelanggan. Tetapi, hakikatnya mereka selalu rugi, terutamanya dalam jangka masa panjang. Memanglah setiap kali kerja dilakukan, mereka akan mendapat sedikit wang untung bersih, tetapi, mereka tidak sedar bahawa mereka telah rugi satu perkara yang lebih bernilai, iaitu – masa. Untung bersih yang diperolehi tidak setimpal dengan masa yang telah dikorbankan jika bisnes ini dilakukan dengan cara yang salah.
Antara kesilapan lain yang selalu dilakukan oleh jurufoto perkahwinan yang melakukan kerja secara sambilan ialah:
1) Menganggap fotografi perkahwinan adalah sebahagian dari hobinya dalam fotografi. Disebabkan itu, mereka tidak begitu kisah dengan jumlah bayaran yang diterima. Mereka tidak faham maksud hobi. Hobi ialah melakukan sesuatu untuk kepuasan diri sendiri, tetapi fotografi perkahwinan bukan satu hobi kerana kita perlu merakam gambar untuk kepuasan pelanggan.
2) Membelanjakan wang dengan cara yang salah untuk membeli kamera, lensa dan lain-lain peralatan fotografi yang sebenarnya tidak diperlukan. Mereka menyangka, peralatan yang mahal boleh memajukan perniagaan mereka, tetapi sebenarnya itu tidak benar. Kesilapan pengurusan kewangan ini boleh mengundang masalah lain yang lebih besar. Mereka sepatutnya turut memperuntukkan sejumlah wang untuk tujuan pemasaran, modal pusingan dan lain-lain.
3) Tidak mengetahui dan tidak mahir teknik yang betul dalam merakam foto perkahwinan. Bidang fotografi adalah bidang yang luas dan setiap bidang pengkhususan dalam fotografi itu mempunyai teknik-tekniknya yang tersendiri. Teknik yang digunakan untuk merakam foto sebagai hobi misalnya, adalah berlainan dengan teknik merakam foto perkahwinan. Biasanya, teknik dalam fotografi perkahwinan mementingkan teknik yang ringkas, cepat tetapi berkesan. Di dalam fotografi perkahwinan juga, imej yang dihasilkan mestilah mempunyai tahap kesenian yang tertentu disamping ianya juga perlu menambat hati pelanggan.
4) Mudah terikut dan meniru gaya foto yang dihasilkan oleh jurufoto lain. Disebabkan meniru, hasil karya mereka tidak mempunyai keaslian atau identiti sendiri. Dengan cara mengikut tanpa faham konsep dan tanpa ada kemahiran mengenainya, hasilnya juga tidak begitu menjadi. Untuk bersaing, seseorang jurufoto itu perlu mempunyai karya yang unik agar dia boleh ‘dilihat’ dan dihargai oleh bakal pelanggan.
5) Tidak mahir dalam bidang pemasaran. Walau sebagus mana pun karya seseorang itu, tanpa pemasaran yang betul, karya itu tidak dapat menjana pendapatan untuknya. Jurufoto sambilan biasanya tidak sanggup untuk membelanjakan wang untuk pemasaran (tetapi sanggup membeli kamera mahal) Mereka tidak faham bahawa, wang yang dikeluarkan untuk menjalankan pemasaran yang berkesan adalah satu pelaburan, bukannya satu pembaziran. Bukankah bijak jika terpaksa membelanjakan RM10,000 untuk pemasaran jika kita akan mendapat untung RM50,000 darinya?
Tetapi, semua ini adalah normal – dalam proses belajar, kita memang akan sentiasa membuat kesilapan. Apa yang penting ialah kita belajar dari kesilapan. Makin besar kesilapan yang dibuat, makin besar pengajaran yang akan didapati. Tetapi, orang yang lebih bijak ialah orang yang belajar dari kesilapan orang lain. Oleh itu, adalah lebih baik sekiranya jurufoto sambilan yang masih baru di dalam bidang ini menambahkan usaha untuk mencari ilmu dan belajar dari jurufoto lain yang lebih berpengalaman.
Akan sampai masanya nanti apabila seseorang itu telah lama dalam bidang ini, dia akan tiba di satu titik untuk membuat keputusan – berhenti kerja tetap dan lakukan fotografi perkahwinan secara sepenuh masa! Untuk pergi lebih jauh, semua orang akan melalui peringkat ini. Peringkat yang lebih sukar, lebih mencabar dan lebih berisiko. Tetapi, pulangannya berbaloi jika kita berjaya.
Jika dilakukan dengan cara yang betul, setelah beberapa tahun melakukan fotografi perkahwinan secara sepenuh masa, seseorang itu akan pergi ke langkah seterusnya, iaitu mempunyai pejabat yang khusus untuk perniagaannya. Bukan lagi beroperasi dari rumah. Disebabkan tugasan yang banyak, pada peringkat ini juga, jurufoto akan mula mempunyai pekerja yang akan membantu dalam beberapa urusan. Pada peringkat ini juga, jurufoto tadi bukan sahaja sibuk merakam foto, tetapi dia juga akan sibuk dalam menguruskan bermacam-macam hal berkaitan perniagaannya.
Mungkin selepas beberapa ketika, dia akan membuka satu lagi perniagaan baru, menambah bilangan pekerja atau berpindah ke pejabat yang lebih besar. Ini menandakan bahawa seseorang jurufoto itu telah berjaya di dalam bidangnya, walau pada awalnya dia hanya bermula dari seorang jurufoto sambilan.
Artikel oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM
artikel yg bagus untuk beginner seperti eca..hehehe.
ReplyDeleteyang no 4 tu dya sokong... mesti lah buat foto yang lain drpd org lain.. kalau buat mcm tu mesti ramai yang pelanggan..:D
ReplyDeletenice sharing bro..aq pn mnat gak bab2 foto ni..tp part nk beli kamera tu yg susah sikit..hek3..takat yg murah2 boleh la..tp kalo nk dijadikan kerjaya,tak kan nk pkai yg harga 3 4 ratus kan...rasa tkot lak nk ambik risiko bli kamera mahal2,tkot x balik modal lak..huk3..
ReplyDelete@ecadwinkyashahehe..sama-sama la kita belajar ea :)
ReplyDelete@dyabungaTau xpe..tu yg membuatkan kita spesel hehe..kita cari trademark sendiri :)
ReplyDelete@EZAD AMIRhehe.buat permulaan kena la melabur skit..tapi pasti kan berbaloi :)
ReplyDelete